Monday 17 February 2014

ILMU KEPENGAKAPAN (2)

SEJARAH PERGERAKAN PENGAKAP DI MELAKA
SEJARAH AWAL PENUBUHAN PERGERAKAN PENGAKAP DI MELAKA.
Sejarah Pengakap Melaka bermula pada tahun 1925, apabila Pengetua Malacca High School waktu itu, Mr. C. G. Coleman, memperkenalkan Pergerakan Pengakap buat pertama kalinya kepada pelajar di sekolah itu pada 28 Februari 1925. Seterusnya, Pergerakkan Pengakap, Malacca High School telah didaftarkan dengan rasminya pada 7 Mei 1925, menjadikannya kumpulan pengakap yang pertama sekali berdaftar di negeri Melaka.
Pada ketika itu, enam orang murid lelaki telah dipilih dan diberikan latihan sebagai ketua sekawan. Mereka ialah B. Hand Raj, Tan Boon Teng, J. A. R. Wallington,Abdul Rahman Bin Hj. Nurdin, Bachik Bin Suboh dan M. Rajah. Scoutmasterwaktu itu pula ialah Mr. W. B. O. Sullivan, sementara En. Gurdial Singh pula sebagai penolongnya.
Selepas Malacca High School sebagai kumpulan ‘1st Malacca’, Pergerakkan Pengakap berkembang dan ditubuhkan pula di Sekolah Methodist (ACS). Kumpulan di Sekolah Methodist (ACS) ini dikenali sebagai ‘2nd Malacca’ dan seterusnya ‘3rd Malacca Troop’ pula telah ditubuhkan di Sekolah St. Francis. Seterusnya kumpulan ‘4th Malacca Troop’ telah ditubuhkan di Tranquerah English School. Aktiviti pengakap pada ketika itu dikira lengkap apabila 1st Troop telah berjaya menamatkan pengembaraan sejauh 136 batu ke Seremban, Port Dickson dan berpatah balik ke Melaka.
Pada bulan November 1925, Ketua Pesuruhjaya ketika itu, Mr. F. C. Sands, telah melawat Melaka dan mengadakan satu mesyuarat di Malacca Club. Hasilnya, Persekutuan Mengakap Melaka telah ditubuhkan dengan Mr. R. O. Brunston dilantik sebagai Pesuruhjaya Daerah yang pertama  (sebelum tahun 1945 Pesuruhjaya Negeri disebut sebagai Pesuruhjaya Daerah).
Pada tahun 1926, buat pertama kalinya keempat-empat ‘Troop’ yang telah tertubuh di Malacca High School, Sekolah Methodist (ACS), Sekolah St. Francis dan di Tranquerah English School pada tahun sebelumnya, telah digabungkan untuk menghadiri satu perjumpaan pengakap. Ianya menjadi perjumpaan pengakap yang julung-julung kalinya diadakan di negeri Melaka.
Dalam masa lima tahun, lapan pasiukan lagi telah ditubuhkan iaitu pasukan ke-4 (T.E.S), pasukan ke-5 (B.H.E.S), pasukan ke-6 (H.S), pasukan ke-7 (S.F.I), pasukan ke-8 (A.C.S), pasukan ke-9 (A.S.C), pasukan ke-10 (H.S) dan pasukan ke-11 (S.F.I).
Pasukan Volunteer Melaka telah memberikan kepada Pengakap Melaka sebuah kem di Bukit Duyong. Ketika itu aktiviti berenang merupakan aktiviti kegemaran, oleh itu Encik M.R. Holgate, bekas Penyelia Sekolah-Sekolah telah mencadangkan kepeda semua jurulatih pengakap ketika itu bahawa semua ahli pengakap mestilah mahir berenang. Dan hasilnya, dua tahun sebelum peperangan, setiap ahli pengakap yang berdaftar ketika itu mahir berenang.


BERJUMPA DENGAN LORD BADEN POWELL – PENGASAS PERGERAKAN PENGAKAP DUNIA
Satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan oleh pemimipin dan ahli pengakap Melaka ialah peluang bertentang mata dan berbicara dengan Pengasas Pergerakan Pengakap Sedunia iaitu Lord Baden Powell sendiri. Peristiwa tersebut berlaku apabila satu rombongan pemimpin pengakap Melaka telah berlayar ke Singapura untuk menghadiri satu perkhemahan dan ketika itu Lord Baden Powell sedang berada di Singapura yang mana pada ketika itu merupakan Ibu Pejabat Pergerakan Pengakap Malaya. Pengalaman dan perasaan bertemu dengan Lord Baden Powell  digambarkan dalam buku Persetiaan dan Undang-Undang oleh sebagai “Ada satu perkara, lebeh daripada yang lain2 yang sentiasa tersemat di-hati Pengakap2 dan Pemimpin2, sabelum perang, iaitu mereka telah menentang wajah dan berchakap dengan Ketua dan Penaja yang di-kasehi, Lord baden-Powell”.
PERKEMBANGAN PENGAKAP MELAKA SEMASA WAKTU PEPERANGAN
Pergerakan Pengakap semasa waktu peperangan terus berjalan tetapi dalam keadaan yang sederhana sahaja. Kebanyakan Pengakap Kanan dan Pemimpin secara sukarela memasuki perkhidmatan perang dalam Perkhidmatan Pertahanan Awam, lebih-lebih lagi dalam cawangan Mengesan Serangan Udara (A.R.P). Satu rancangan kerahan telah disusun dan dengan rancangan tersebut semua ahli pergerakan Pengakap dapat berkumpul di Padang Kelab Melaka dengan cepat. Empat puluh orang ahli pengakap telah diatur menjadi Penghantar Khabaran dengan berbasikal di bawah perintah Pengawal Kumpulan, Mendiang Encik P.G Pamadasa dan Pengawal Kumpulan Encik Loh Hung Loon. Pengakap-pengakap ini telah memberikan perkhidmatan cemerlang kepada cawangan Mengesan Serangan Udara dan cawangan cawangan ini dibubarkan sehari sebelum pengunduran tentera dari Melaka. Banyak yang telah bergadai nyawa kerana mempertahankan apa yang difikirkan mereka yang terbaik dan beberapa orang ahli pengakap telah terkorban kerana cita-cita unggul mereka ini.
Suatu istiadat perbarisan telah diadakan di Padang Kelab Melaka pada 23 Mac 1946 bagi memperingati ahli-ahli Pengakap dan Pemimpin yang telah terkorban dalam masa penaklukan tentera Jepun di Malaya ketika itu. Antara mereka yang telah memberi sumbanagn perkhidmatan yang terkemuka ketika itu ialah :
1.     Pemimpin Pengakap Daerah P.G Pamadsa A.R.P
2.     Ketua Pasukan Lew Chang Yuan A.R.P
3.     Ketua Patrol Ling Ding Ee M.A.S
4.     Ketua Patrol Yoong Tat Sin M.A.S
5.     Ketua Patrol M.D Ratnam R.A.M.C
6.     Low Geok Fah M.V.C
7.     Gan Kim Wah M.V.C
PERKEMBANGAN PENGAKAP MELAKA SELEPAS ZAMAN PEMERINTAHAN JEPUN
Apabila negeri ini telah terlepas daripada penaklukan tentera Jepun, Pergerakan Pengakap dihidupkan semula oleh Reverend W.B Eales, Pemangku Nazir Kanan Sekolah-Sekolah, Penolong Pesuruhjaya Daerah Encik R. Sathasivam, Pemimpin Pengakap Daerah Encik Loh Hung Loon, Pemimpin Pengakap Encik Tan Gim Ann dan Pemimpin Pengakap Encik J.A.R Wellington
Pada bulan Mei 1946, Encik John Young, Pemangku Nazir Sekolah-Sekolah telah dilantik menjadi Pesuruhjaya Daerah dan Kolonel H.A.L Luckham menjadi Yang Di-pertua Persekutuan Pengakap Tempatan Melaka. Keahlian ahli-ahli pengakap dan pemimpin semakin bertambah. Pada tahun 1946, keahlian hanya terhad kepada sekolah-sekolah Inggeris dan sekolah-sekolah Melayu sahaja. Mengikut rekod pada akhir tahun 1946 keahlian pengakap pada masa itu ialah seramai 1451 orang dimana seramai 994 orang dari sekolah-sekolah Melayu.
Dalam bulan Jun 1946, Encik John Young meletakkan jawatan sebagai Pesuruhjaya Daerah dan Encik R. Sathasivam dilantik menjadi pemangku Pesuruhjaya Daerah. Kolonel H.A.L  Luckham telah bertukar dan digantikan oelh Y.B Encik E.V.G Day sebagai Yang Di-pertua Pereskutuan Pengakap Melaka. Pada penghujung tahun 1946, Sekolah Pay Fong dan Sekolah Cina Hu Siew Jasin telah dibenarkan untuk menubuhkan pasukan pengakap mereka. Undang-undang dan peraturan telah disemak semula dan ini merupakan persitiwa bersejarah yang mana pergerakan pengakap mula ditubuhkan dan merebak ke sekolah-sekolah cina.
Pada tahun 1947 Y.B Encik J. Falconer telah dilantik menjadi Yang Di-pertua dan Encik C.P Purcell dilantik menjadi Pengerusi  Jawatan Kuasa Kerja. Dalam usaha untuk meningkatkan mutu kemahiran kepengakapan, Kem puan Tan Chay Yang yang ketika itu berada di Pantai Kundur telah diperbaiki dan kebenaran menggunakan kolam mandi untuk aktiviti berenang di Tanjung Bruas telah diperolehi. Pemimpin- pemimpin pengakap Melayu telah bergerak cergas dan mereka telah cuba mengeluarkan risalah-risalah dan buku-buku pengakap dalam Bahasa Melayu. Dalam tahun 1948, Encik John Young telah kembali daripada England ke Malaya dan menyambong perkhidmatannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja. Usaha-usaha telah dilaksanakan untuk menambahkan bilangan ahli yang berdaftar dan hasilnya pada tahun tersebut seramai 2280 orang ahli pengakap telah didaftarkan.
Dalam tahun 1949, banyak perubahan pegawai-pegawai pengakap Melaka telah berlaku. Y.B Encik J.Falconer telah bertukar dan digantikan oleh Encik W.G Taylor selama enam bulan. Pada penghujung tahun tersebut Y.B Encik G.E.C Wisdom telah dilantik menjadi Yang Di-pertua Persekutuan Pengakap Melaka dan Encik R. Sathasivam menjadi Pesuruhjaya Negeri dan Encik J.A.R Wellington menjadi penolongnya bagi melicinkan pengurusan pentadbiran di tiga buah persekutuan Daerah ketika itu iaitu Daerah Tengah, Alor Gajah dan Jasin.
Dari tahun 1950 hingga akhir tahun 1954, Y.B Encik G.E.C Wisdom terus memegang jawatan Yang Dipertua dan Jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kerja di pegang oleh Encik G.S Walker, kemudian Encik T.J Mathias, Encik B.T.W Stewart, Encik P.Bishop dan Encik J.W Sweetman. Dan hasil daripad abantuan dan nasihat  daripada rakyat setempat serta usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Encik R. Sathasivam serta penolong-penolongnya, pergerakan Pengakap di Melaka semakin kukuh dan cekap setiap tahun.
Pada bulan September 1954, Persekutuan Budak Budak Pengakap Melaka telah disusun semula untuk melancarkan pentadbiran dan digantikan dengan Majlis Pengakap Negeri Melaka. Ketika itu daerah pengakap telah bertambah menjadi tujuh iaitu Tranquerah (Tengkera), Fort (Kota), Duyong, Alor Gajah, Masjid Tanah, Jasin dan Merlimau. Y.B Encik Hammet kemudiannya menjadi Yang Di-pertua Majlis Pengakap Negeri dan Encik L.W Sweetman menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kerja.
PERISTIWA BESAR DI MELAKA – JAMBORI MALAYSIA KE DUA
Pada 29 Julai hingga 4 Ogos 1970 Melaka telah dipilih sebagai tuan rumah kepada Jambori Malaysia kali kedua di Ayer Keroh dan sekarang dikenali sebagai Pusat Ekspo Negeri Melaka. Jambori tersebut telah mencatat sejarah kerana penglibatan negara tertinggi sekali pernah dicatatkan iaitu sebanyak 13 buah negara dengan hampir seramai 10 ribu peserta telah menyertai jambori tersebut. Negara Thailand merupakan Negara yang telah menghantar peserta yang teramai sekali iaitu sebanyak 541 orang ahli pengakap termasuk 73 orang peserta wanita. Negaraa-negara lain yang mneyertai jambori tersebut ialah Australia, Amerika Syarikat, Indonesia, India, Jepun, Pakistan, Republik Cina, Laos, Singapura, Brunei dan Switzerland. En. Horace Oliver Sta Maria merupakan Pesuruhjaya Negeri Melaka ketika itu.
ZAMAN KEGEMILANGAN PENGAKAP MELAKA
Pengakap Melaka mencapai zaman kegemilangannya semasa pentadbiran Tn. Hj Abdul Kader bin Md. Nor . Beliau telah memulakan Jambori Melaka yang pertama. Persekutuan Pengakap Melaka telah mengadakan jambori mereka sendiri yang pertama pada 6 hingga 11 Jun 1993 bertempat di Hutan Rekreasi Ayer Keroh. Jambori tersebut telah menjadi sebagai bench mark kepada negeri-negeri lain dan jambori tersebut  menjadi satu kebanggaan kepada pengakap Melaka yang mana penyertaan jambori tersebut melibatkan negeri-negeri seluruh Malaysia dan juga daripada Negara-negara Asean. Sehingga beliau meletakkan jawatan, sebanyak 8 Jambori Melaka telah berjaya dilaksanakan.
Beliau juga telah mewujudkan Pingat Pengakap Negeri Melaka dengan izin daripada Ketua Menteri Melaka dan Persekutuan Pengakap Malaysia. Sebanyak dua pingat telah diwujudkan iaiti Anugerah Presiden dan Anugerah Gemilang Presiden. Pingat-pingat ini telah menjadi tarikan kepada semua pemimpin pengakap seluruh Malaysia dan juga luar Negara. Antara penerima-penerimanya termasuklah Ketua Pengakap Negara, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Ketua-Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri, Gabenor-Gabenor wilayah Indonesia, Walikota dan Bupati Indonesia dan juga pemimpin-peminpin daripada Thailand dan Singapura.
Pada zaman beliau juga telah berlangsung satu aktiviti peringkat antarabangsa iaitu Jambori Pengakap Muslim Sedunia atau lebih dikenali sebagai IUMS (International Union Muslim Scout). Perkara yang paling membangga berlaku semasa jambori tersebut ialah kehadiran Y.A.B Perdana Menteri ketika itu iaitu Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Kem Pengakap Melaka.
Banyak perkembangan telah berlaku semasa zaman beliau antaranya ialah penubuhan Koperasi Pengakap Melaka (KOPEKA) dan Kedai Pengakap. Sesungguhnya sepanjang 23 tahun pentadbiran beliau, Pengakap Melaka telah mencapai kegemilangannya dan dikenali di seluruh Malaysia dan juga negera-negara Asean khususnya di Indonesia.
Pada tahun 2011, beliau telah dilantik menjadi Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara dan merupakan jawatan tertinggi pernah dipegang oleh ahli pengakap Melaka.
PERALIHAN KUASA
Pada 30 Disember 2011 ketika Mesyuarat Majlis Pengakap Melaka, Datuk Hj. Abdul Kader telah menyatakan hasrat untuk mengundur diri daripada pentadbiran pengakap Melaka setelah 23 tahun berkhidmat. Beliau telah mencadangkan En. Mohd Zamir bin Hj. Mohd Sharif ketika itu memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya Daerah sebagai penggantinya. Dengan sokongan daripada Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Melaka ketika itu iaitu YB Datuk Md. Sirat bin Abu dan keputusan sebulat suara daripada ahli-ahli majlis, Encik Mohd Zamir bin Hj Mohd Sharif telah dicadangkan menjadi Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Melaka yang baru bagi menggantikan Datuk Hj. Abdul Kader bin Md. Nor.
Tanggal 17 Mac 2012, Encik Mohd Zamir bin Hj Mohd Sharif telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Melaka di hadapan Ketua Pengakap Negara, Datuk Seri Paduka Dr. Hj Mohd Shafiee bin Salleh di Dewan Kampo, Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, Kuala Lumpur. Perlantikan tersebut telah mencatat sejarah peribadi kerana menjadi Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri yang termuda di Malaysia pada umur 34 tahun 2 bulan 4 hari.
Tahun-tahun berikutnya telah menyaksikan Persekutuan Pengakap Negeri Melaka terus cemerlang dan terus memberikan sumbangan tenaga serta sentiasa bersedia berkhidmat selain memainkan penting dalam banyak aktiviti dan program Persekutuan Pengakap Malaysia, Pengakap Negeri Melaka juga kepada Kerajaan Negeri Melaka.
Sesungguhnya, Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Melaka merupakan satu pergerakan yang matang, sematang usianya 88 tahun!
  
SENARAI NAMA PESURUHJAYA PENGAKAP NEGERI MELAKA
BIL.
NAMA
JAWATAN
TEMPOH
1
Encik R.O Brunston
Pesuruhjaya Daerah
1925-1928
2
Encik R.P.S Walker
Pesuruhjaya Daerah
1928-1930
3
Encik B.P Richards
Pesuruhjaya Daerah
1930-1940
4
Encik John Young
Pesuruhjaya Daerah
Mei 1946-Jun 1946
5
Encik R. Sathasivam
Pesuruhjaya Negeri
1946-1953
6
Encik Hilary Lawrence
Pesuruhjaya Negeri
1954-1955
7
Encik J.A.R Wellington
Pesuruhjaya Negeri
1956-1961
8
Encik Horace  Oliver Sta Maria
Pesuruhjaya Negeri
1962-1972
9
Tn. Hj Tawi bin Yaakub
Pesuruhjaya Negeri
1972-1978
10
Tn Hj Othman bin Hj Md Drus
Pesuruhjaya Negeri
1978-1987
11
Datuk Hj Abdul Kader bin Md Nor
Ketua Pesuruhjaya Negeri
1988-2011
12
Encik Mohd Zamir bin Hj Mohd Sharif
Ketua Pesuruhjaya Negeri
2012-kini



No comments:

Post a Comment