Monday 17 February 2014

ILMU KEPENGAKAPAN (4)

SEJARAH HIDUP PENGASAS PERGERAKAN PENGAKAP SEDUNIA

KEHIDUPAN AWAL

Lord Baden Powell atau nama penuhnya, Robert Stephenson Smyth Baden Powell lebih dikenali sebagai B.P. dilahirkan di London, England pada 22 Februari 1857. Bapanya,Reverend H.G Baden Powell adalah seorang profesor geometrik di Universiti Oxford sementara ibu, Henrietta Grace adalah anak perempuan seorang Laksamana British bernama William Henry Smyth. Baden Powell telah mewarisi sifat ayahnya yang suka membuat siasatan dan mempunyai kebolehan seperti ibunya yang sukakan kepada seni lukis. Selain daripada itu Baden Powell sering mengikut abangnya keluar melakukan aktiviti-aktivi luar seperti berkhemah, bersampan dan belayar.
Bapanya meninggal dunia semasa B.P.berusia 3 tahun. Baden Powell amat gemar kepada aktiviti luar dan kerap memancing dan belayar perahu di Tasik Serpentine yang terletak di Hyde Park,London.Dalam tahun 1870,B.P.mendapat biasiswa untuk belajar di sebuah sekolah yang bernama CharterHouse di bandar London.Beliau bukanlah seorang murid yang mempunyai sebarang kelebihan tertentu tetapi beliau murid yang paling periang di sekolah itu.Beliau juga cenderung dalam bidang muzik,sementara kelebihan melukis banyak membantunya membuat ilustrasi yang menarik bagi setiap tulisannya.

KERJAYA KETENTERAAN

B.P.lulus dari CharterHouse ketika berusia 19 tahun dan beliau telah mengambil peperiksaan untuk memasuki angkatan tentera.Beliau telah lulus dengan cemerlang dan dikecualikan dari memasuki Kolej Tentera Sandhurst lalu dijadikan Leftenan Muda dalam pasukan askar berkuda – 13th Hussers di India. Baden Powell telah bertugas dengan pasukannya di India,Afghanistan dan Afrika. Pada tahun 1876 beliau telah dinaikkan pangkat menjadi Leftenan Kolonel dan setahun kemudian beliau telah dilantik menjadi Pegawai Pemerintah Pasukan ke-5 Dragoon Guards di India.
Dalam tahun 1896, Baden Powell dihantar ke Matabeland, Rhodesia. Di situ beliau digelar “IMPEESA” yang bermakna ‘serigala yang tidak pernah tidur’. Baden Powell dinaikkan ke pangkat Kolonel dalam tahun 1897 dan dihantar ke India semula untuk memimpin Dragoon Guards ke-5.
Baden Powell telah dihantar ke Afrika Selatan menjadi pembantu pegawai kanan kepada bapa saudaranya iaitu Jeneral Henry Smythe pada ketika itu menjadi Ketua Pegawai Pemerintah Afrika Selatan. Disana beliau telah ditugaskan dalan bahagian perisikan dan diarahkan untuk memberkah Dinizulu, Ketua Kaum Zulu  yang telah menderhaka kepada pihak British. Dinizulu telah diarah untuk menyerah diri tetapi telah melarikan diri bersama-sama hulubalangnya ke Tranvaal. Tidak lama kemudian Dinizulu telah menyerah diri kepada pihak British.
Di situ beliau telah memperkenalkan satu skim latihan yang bercorak pertandingan dan permainan luas dalam sistem berpatrol. Askar-askar yang menunjukkan kebolehan yang baik akan diberi satu lencana (berbentuk point utara kompas – yang telah menjadi lambang Pergerakan Pengakap) dan digelar ‘scout’ iaitu peninjau.Dalam tahun 1899, Baden Powell telah pulang ke England. Beliau membawa sebuah buku berjudul “AIDS TO SCOUTING” yang beliau tulis semasa bercuti di Kashmir. Buku itu mengenai latihan yang beliau beri kepada askar peninjaunya di India.
Perang Boer telah tercetus pada 11 Oktober 1899 dan B.P.telah berjaya mempertahankan bandar Mafeking dari kepungan askar Boer yang diketuai oleh Jeneral Cronje. Semasa Perang Boer,Kor Kadet Mafeking yang terdiri daripada budak lelaki ditubuhkan untuk menjalankan tugas membawa berita dan pembantu.Pertahanan Mafeking selama 218 hari oleh Baden Powell telah menjadikannya mashyur dan beliau dinaikkan pangkat ke pangkat Mejar Jeneral. Ketika itu beliau berumur 43 tahun. Selepas tamatnya Perang Boer, Baden Powell diarah menubuhkan Pasukan Polis di Afrika Selatan.Dalam tahun 1903,beliau telah dijadikan Inspektor Jeneral Tentera Berkuda. Dalam tahun 1907,ketika Baden Powell berusia 50 tahun, beliau telah dinaikkan ke pangkat Leftenan Jeneral dan dimasukkan ke tentera simpanan. 
PERMULAAN PERGERAKAN PENGAKAP

Buku “AIDS TO SCOUTING” yang diterbitkan semasa bandar Mafeking dikepung telah berjaya menarik perhatian kanak-kanak di England.B.P.digalakkan memperkenalkan ideanya yang terkandung dalam bukunya itu.Beliau telah mengadakan satu pekhemahan di Pulau Brownsea untuk 21 orang kanak-kanak pada 31 Julai 1907. Mereka telah berkhemah,memerhati,mengembara,berperahu dan mengikut jejak selama 10 hari. Unggun api juga telah diadakan pada setiap malam. Perkhemahan Pengakap yang pertama ini sungguh berjaya dan Baden Powell telah menerbitkan buku keduanya “SCOUTING FOR BOYS” pada tahun 1908. Bukunya mengandungi panduan bagi melatih kanak-kanak menjadi Pengakap dan dihiasi dengan lukisan-lukisan yang menarik oleh Baden Powell sendiri. Pada tahun 1909, “SCOUTING FOR BOYS” telah diterjemahkan ke dalam 5 bahasa dan Pergerakan Pengakap telah muncul di Amerika Syarikat,Chile dan India. Pada tahun yang sama,King Edward VII telah mengurniakan pangkat ‘Knight’ kepada B.P. dan bersetuju bahawa Pengakap-Pengakap yang lulus dalam Ujian Pentarafan Kecekapan akan digelar Pengakap Raja (King Scout).
 KEHIDUPAN PERIBADI BADEN POWELL 
Pada 30 Oktober 1912, Baden Powell telah berkahwin dengan Olave St.Clair Soames di Gereja St.Peter, Parkstone. 100 ribu ahli Pengakap telah menyumbangkan 1P (Penny) dan hadiahkan sebuah kereta ‘STANDARD’ kepada B.P.Olave Baden Powell. Pada tahun 1913, Perkhemahan Antarabangsa yang pertama kali telah diadakan di Birmingham. Direkodkan bahawa seramai 30 ribu ahli pengakap berhimpun di sana dan mendengar amanat daripada Baden Powell sendiri.
Kemudian Peperangan Dunia Pertama telah meletus dan pergerakan pengakap terhenti sementara. Selepas keamanan kembali beliau merancang mencari tempat untuk melatih pemimpin bagi menggerakkan pergerakan pengakap dengan lebih teratur. Peluang tersebut tiba apabila seorang bangsawan Scotland, W. De Bois MacLaren menyatakan keinginan untuk menghadiahkan sebuah tapak perkhemahan. Perkara tersebut merupakan sejarah tertubuhnya Gilwell park dan telah dibuka pada tahun 1919.
  Pada tahun 1929, Gilwell telah mendapat tempat utama dalam Pergerakan Pengakap Dunia. Atas keputusan Baden Powell, nama Gilwell telah dimaterikan dalam nama Baden Powell sendiri semasa jambori pada tahun 1929. Semenjak daripada itu beliau dikenali sebagai Lord Baden Powell Gilwell. Pada tahun 1932, Lady Baden-Powell telah dianugerahkan dengan pingat kebesaran Kerajaan British Dame Grand Cross dan beliau telah menjadi Ketua Pandu Puteri pada tahun 1918. Pada awal tahun 1934, Baden Powell telah menjalani satu pembedahan yang kritikal dan terpaksa berehat selama 5 bulan. Semasa tempoh pemulihan, beliau telah menjelajah ke seluruh dunia untuk menemui Pengakap-Pengakap di beberapa buah negara antaranya ialah Australia, Malaya, Ceylon dan Amerika Syarikat.
Dalam tahun 1920,ahli Pengakap seluruh dunia telah berkumpul di Olympia,London dalam Jambori Pengakap Sedunia pertama.Dalam Jambori ini,Baden Powell diisytiharkan sebagai Pengakap Agung Dunia (World Chief Scout). Dalam Jambori Dunia ke-3 di England, iaitu pada hari genapnya Pergerakan Pengakap 21 tahun Baden Powell dianugerahkan gelaran Lord Baden Powell of Gillwell. Ahli Pengakap seluruh dunia juga menyumbangkan 1P (Penny) untuk sebuah kereta ‘Rolls Royce’ dan sebuah potret Baden Powell. Penghormatan tertinggi baginya ialah ‘Order of  Merit’ yang dianugerahkan oleh King Edward V pada tahun 1937. Selepas menghadiri Perhimpunan Gillwell (Gillwell Reunion) untuk Pemimpin Pengakap pada bulan September 1937,Baden Powell dan isterinya bermastautin di Nyeri, sebuah kampung aman dan cantik di Kenya, Afrika. Selepas berkhidmat selama 33 tahun dalam Pergerakan Pengakap dan Pandu Puteri, Baden Powell meninggal dunia di kediamannya ‘Paxtu’ di Nyeri pada 8 Januari 1941.


No comments:

Post a Comment